 Dr. Azman bin Ahmad Ketua Unit, Unit PSP, BTPN Johor | Bersyukur saya kehadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurniaNya serta izinNya maka dibukakan hati dan ruang kepada kami dalam mencari idea bagaimana untuk mendapatkan data daripada pihak sekolah untuk digabungkan ke PKG, BTPNJ dan seterusnya ke BTP. Bermula tahun 2003 versi pertama eNILAM yang dibangun menggunakan aplikasi Access telah diperkenalkan kepada 2 buah sekolah sebagai rintis iaitu SK Parit Setongkat Muar dan SMK Parit Bunga, Muar. Pada awal tahun 2004 sistem eNILAM Versi 1.0 telah diperkenalkan kepada sekolah-sekolah ahli PKG Parit Bunga dan PKG Parit Setongkat. Manakala pada pertengahan tahun 2004 sistem ini terus berkembang dan diperkenalkan pula kepada PKG Johor Seterusnya, Unit PSP, BTP telah membantu memperkenalkan sistem ini semasa siri 'Road Show' Kursus Pemantapan dan Pembugaran Program NILAM 2004 di seluruh negara. Pada tahun 2005 sistem eNILAM Versi 2.0 telah diedar dan digunapakai kepada semua sekolah negeri Johor. Berdasarkan prinsip berani melakukan perubahan dan cabaran dalam perkembangan pesat ICT maka pada tahun 2007 eNILAM Versi Web telah dibangunkan. eNILAM Versi Web ini adalah kesinambungan daripada eNILAM Offline di mana sekolah-sekolah masih lagi menggunakannya manakala PKG akan menggabungkan melalui versi PKG dan seterusnya mengeksport data tersebut ke dalam eNILAM Web. Harapan saya pada tahun 2008 ini penggunaan eNILAM Web akan dapat digunakan dengan berkesan disamping menguji kemampuan sistem ini. | | | | |
|